image

Ringkasan Peristiwa Israk Dan Mikraj

Sebelum Israk dan Mikraj

Rasulullah S.A.W. mengalami pembedahan dada / perut, dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Mika'il. Hati Baginda S.A.W.. dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam ('alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman.ke dalam dada Rasulullah S.A.W. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan "khatimin nubuwwah". Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan "Israk" itu.
 
Semasa Israk ( Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa ):

Sepanjang perjalanan (israk) itu Rasulullah S.A.W. diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:

i. Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah.

ii. Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa A.S. menerima wahyu daripada Allah;

iii. Baitul-Laham (tempat Nabi 'Isa A.S. dilahirkan);

Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah S.A.W. menghadapi gangguan jin 'Afrit dengan api jamung dan dapat menyasikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib. Antaranya :

§ Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah S.A.W. dibertahu oleh Jibrail : Itulah kaum yang berjihad "Fisabilillah" yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.

§ Tempat yang berbau harum. Rasulullah S.A.W. diberitahu oleh Jibrail : Itulah bau kubur Masyitah (tukang sisir rambut anak Fir'aun) bersama suaminya dan anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir'aun kerana tetapt teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir'aun sebagai Tuhan).

§ Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).

§ Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebeis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.

§ Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri / suami.

§ Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba`.

§ Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.

§ Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.

§ Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.

§ Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.

§ Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.

§ Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah S.A.W. tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang mensesiakan umurnya sampai ke tua.

§ Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.

Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun dari Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia` dan mursalin menjadi makmum.

Rasulullah S.A.W. terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.
Semasa Mikraj ( Naik ke Hadhratul-Qudus Menemui Allah ):

Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah S.A.W. dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).

i. Langit Pertama: Rasulullah S.A.W. dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam A.S. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba` dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.

ii. Langit Kedua: Nabi S.A.W. dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi 'Isa A.S. dan Nabi Yahya A.S.

iii. Langit Ketiga: Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf A.S.
iv. Langit Keempat: Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris A.S.
 
v. Langit Kelima: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun A.S. yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.

vi. Langit Keenam: Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa A.S. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.

vii. Langit Ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Ma'mur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah S.A.W., Nabi Ibrahim A.S. bersabda, "Engkau akan berjumapa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dha'if, maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu LA HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH. Mengikut riwayat lain, Nabi Ibahim A.S. bersabda, "Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu: SUBHANALLAH, WAL-HAMDULILLAH, WA LA ILAHA ILLALLAH ALLAHU AKBAR dan WA LA HAULA WA LA QUWWATA ILLA BILLAHIL- 'ALIYYIL-'AZHIM. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga". Setelah melihat beberpa peristiwa lain yang ajaib. Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).

viii. Tangga Kelapan: Di sinilah disebut "al-Kursi" yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W. menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah S.A.W. dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya.

ix. Tangga Kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W. masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur 'Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.

x. Tangga Kesepuluh: Baginda Rasulullah sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah S.W.T. dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya:

Allah S.W.T : Ya Muhammad.
Rasulullah : Labbaika.
Allah S.W.T : Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan.
Rasulullah : Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan 'Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan.
Allah S.W.T : Aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari qiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah 'Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan Aku fardhukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) sembahyang.

Selesai munajat, Rasulullah S.A.W. di bawa menemui Nabi Ibrahim A.S. kemudian Nabi Musa A.S. yang kemudiannya menyuruh Rasulullah S.A.W. merayu kepada Allah S.W.T agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardhukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.
 
Selepas Mikraj

Rasulullah S.A.W. turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah). Wallahu'alam.
(Sumber : Kitab Jam'ul-Fawaa`id)

Kesimpulannya, Peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan kembali setiap kali 27 Rejab menjelang. Adalah lebih penting untuk kita menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah dan takut kepada kekuasaan-Nya.

Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari dan dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Israk dan Mikraj juga adalah untuk menguji umat Islam (apakah percaya atau tidak dengan peristiwa tersebut). Orang-orang kafir di zaman Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam langsung tidak mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi sebaik-baik Nabi bercerita kepada mereka.

Peristiwa Israk dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat atau kekuasaan Allah Subhanahu Wataala. Allah Subhanahu Wataala telah menunjukkan bukti-bukti kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam.

Mafhum Firman Allah S.W.T. : "Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat."
(Surah Al-Israa': Ayat 1).

Pasukan Formula One SSI Juara Keseluruhan UTP F1 Cup 2011

Pertandingan UTP F1 Cup 2011 telah dianjurkan oleh Kelab Kejuruteraan Mekanikal, Universiti Teknologi Petronas. Pertandingan ini telah melibatkan penyertaan pasukan-pasukan Formula One Technology Challenge dari sekolah-sekolah seluruh Malaysia. Negeri Johor telah diwakili oleh dua buah pasukan iaitu Pasukan Kaminica daripada Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ismail, Johor Bahru dan Pasukan Prototype D’ Second daripada Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Johor Bahru.

Pasukan Kaminica terdiri daripada 3 orang guru dan 6 orang pelajar tingkatan 4 iaitu Encik Azrin bin Zakaria sebagai Ketua Guru Penasihat Pasukan, dibantu oleh Encik Fakhrur Razi bin Ahmad dan Cik Norazliza binti Othman. Ahmad Faiez bin Hassan bertindak sebagai Pengurus Pasukan merangkap Jurureka Grafik, Syazmeer Arrafi bin Mohd Said sebagai Jurutera Rekabentuk, Imran Azizi bin Mohd Fadhil dan Muhammad Kiflain bin Zulkifli sebagai Jurutera Pembuatan serta Nur Sabrina binti Lokman dan Siti Nurzana binti Abdul Hamid sebagai Pengurus Sumber.



Kontijen dari Negeri Johor berangkat dengan sebuah bas dari Johor Bahru pada jam 12.00 tengah hari,17 Jun 2011 dan  tiba dengan selamatnya di Universiti Teknologi Petronas, Tronoh, Perak pada jam 10.30 malam. Kontijen Johor telah ditempatkan menginap di Kolej Profesional MARA Seri Iskandar yang jaraknya mengambil masa 15 minit daripada Universiti Teknologi Petronas. Persiapan kereta dan pembentangan diteruskan di tempat penginapan sehingga ke pukul 3.00 pagi.



Pada 18 Jun 2011, seawal jam 7.30 pagi, Pasukan Kaminica telah sampai ke tempat pertandingan iaitu di Dewan Serbaguna, Universiti Teknologi Petronas. Setelah pendaftaran dilakukan, para peserta diberi taklimat perjalanan program oleh pihak urusetia. Melalui taklimat tersebut, para peserta dijelaskan mengenai terma dan syarat pertandingan serta kriteria pemarkahan pertandingan.



Setelah selesai mendengar taklimat, para peserta bergerak ke ruang pameran masing-masing untuk menyusun atur bahan pameran dan menghias ruang pameran mereka. Pasukan Kaminica yang telah membuat persiapan rapi sejak awal lagi, tenang menyiapkan ruang pameran mereka. Pasukan ini hanya mengambil masa lebih kurang 40 minit untuk menyiapkan ruang pameran mereka.




Seterusnya, setiap pasukan mengikut giliran masing-masing telah diuji kepantasan kereta mereka melalui catatan masa di trek sepanjang 20 meter. Pasukan Kaminica telah berjaya mencatat masa terpantas iaitu 1.050 saat menumpaskan Juara Keseluruhan Kejohanan Formula One Technology Challenge Peringkat Akhir Kebangsaan tahun lalu, Pasukan Velospeed F1 daripada Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor yang hanya mampu mencatat masa 1.058 saat.



Selepas selesai semua pasukan menguji kepantasan kereta mereka, pertandingan ditangguhkan untuk memberi masa rehat dan solat kepada para peserta dan urusetia pertandingan. Pertandingan diteruskan semula tepat pada jam 2.00 petang untuk sesi pembentangan. Pasukan Kaminica telah membentangkan hasil kajian, aplikasi ilmu kejuruteraan dan teknologi pembuatan yang mereka laksanakan kepada pihak juri dengan penuh keyakinan. Ini telah menarik perhatian juri dan membolehkan mereka muncul sebagai Pembentang Terbaik dan mencatat markah tertinggi untuk pembentangan.






Kemuncak pertandingan adalah majlis penutup dan pengumuman keputusan pertandingan, seperti yang dijangkakan berdasarkan prestasi pasukan semasa berlangsungnya pertandingan, Pasukan Kaminica daripada Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ismail, Johor telah diumumkan sebagai Juara Keseluruhan Pertandingan UTP F1 Cup 2011 dengan markah 84 %. Kejayaan Pasukan Kaminica ini merupakan kejayaan sulung Pasukan Formula One sekolah ini dan juga kejayaan sulung buat Negeri Johor untuk Pertandingan Formula One di Peringkat Kebangsaan. Diharap kejayaan yang dilakar oleh pasukan ini dapat diteruskan pada masa akan datang demi menghasilkan golongan jurutera tempatan yang mempunyai kepakaran setanding dengan jurutera luar negara dan seterusnya memartabatkan mutu tenaga profesional tempatan.

Kembara Dalam Mencari Ilmu...


Gambar ini adalah kenangan sewaktu menghadiri Kursus Intensif Mentor Kejayaan dan Kekayaan... IMKK 2011 di Wisma MCA, Kuala Lumpur.

Alhamdulillah... terlalu banyak ilmu yang dipelajari daripada Mentor Kejayaan dan Kekayaan dan Penulis bersama Buku 'KAYA & BERJAYA DUNIA DAN AKHIRAT'... Dr Azizan Osman...

Terima kasih Dr atas perkongsian ilmu yang bermanfaat...

Manusia Yang Bijaksana

Assalamu'alaikumwarahmatullahiwabarakatuh.

Lama tak menulis di blog ni... Sibuk sangat la kat sekolah... Menyediakan kertas soalan peperiksaan... pastu lepas peperiksaan... nak kena menanda pulak dan sediakan markah yang perlu diberikan pada hari pertama persekolahan.

Hmm... saya nak berkongsi mengenai 'KEBIJAKSANAAN MANUSIA', alhamdulillah... saya telah diberi kesempatan dan hidayah oleh Allah s.w.t. untuk mendengar satu kuliyyah yang disampaikan oleh Ustaz Azhar Idrus yang meletup-letup di Youtube. Dalam ceramah beliau mengenai KAMPUNG SYURGA... beliau menyatakan sebenarnya manusia yang bijaksana adalah mereka yang meletakkan matlamatnya adalah kehidupan di alam akhirat.

Menurut beliau ramai manusia ketika ini... sibuk menabung... sibuk mengumpul harta... kata mereka 'inilah persiapan untuk kesenangan masa depan mereka dan kaum kerabat mereka nanti'... Orang-orang ini belum cukup bijaksana... ini kerana kehidupan dunia bukan pengakhiran kehidupan kita kerana kita sebagai umat Islam percaya dan beriman bahawa adanya hari akhirat.... syurga dan neraka... yang kehidupannya kekal dan abadi.

Kalau dihitung kehidupan kita di dunia ni.... tak sampai sehari pun kita hidup dibandingkan dengan kehidupan di akhirat nanti... Maka mulai detik ini... mulai ketika ini... kita mesti mewajibkan diri kita untuk meletakkan AKHIRAT sebagai matlamat hidup kita kerana... itulah sebenarnya matlamat hidup bagi mereka yang BIJAKSANA.

Lantaran itu... kekayaan dan kesenangan dunia yang kita cari hari ini mesti didorong dengan ilmu, iman dan amal untuk kehidupan kita yang kekal abadi di akhirat sana... Kita belajar sehingga jadi pandai untuk menabur khidmat bakti kepada manusia... Kita cari harta dan kekayaan bukan sekadar untuk kesenangan hidup kita semata-mata tetapi untuk kesenangan hidup orang-orang di sekitar kita juga. WASATIAH atau bersederhana itulah yang terbaik.... walaupun kita bergelar JUTAWAN sekalipun.... biarlah kehidupan kita... kehidupan yang sederhana.... kongsilah nikmat harta dan kekayaan kita dengan orang yang memerlukan kerana itulah PELABURAN BIJAKSANA... saham di hari akhirat kelak.

Ma'assalamah wa ilal liqo'

 
 

Labels