image

Pasukan Formula One SSI Juara Keseluruhan UTP F1 Cup 2011

Pertandingan UTP F1 Cup 2011 telah dianjurkan oleh Kelab Kejuruteraan Mekanikal, Universiti Teknologi Petronas. Pertandingan ini telah melibatkan penyertaan pasukan-pasukan Formula One Technology Challenge dari sekolah-sekolah seluruh Malaysia. Negeri Johor telah diwakili oleh dua buah pasukan iaitu Pasukan Kaminica daripada Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ismail, Johor Bahru dan Pasukan Prototype D’ Second daripada Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Johor Bahru.

Pasukan Kaminica terdiri daripada 3 orang guru dan 6 orang pelajar tingkatan 4 iaitu Encik Azrin bin Zakaria sebagai Ketua Guru Penasihat Pasukan, dibantu oleh Encik Fakhrur Razi bin Ahmad dan Cik Norazliza binti Othman. Ahmad Faiez bin Hassan bertindak sebagai Pengurus Pasukan merangkap Jurureka Grafik, Syazmeer Arrafi bin Mohd Said sebagai Jurutera Rekabentuk, Imran Azizi bin Mohd Fadhil dan Muhammad Kiflain bin Zulkifli sebagai Jurutera Pembuatan serta Nur Sabrina binti Lokman dan Siti Nurzana binti Abdul Hamid sebagai Pengurus Sumber.



Kontijen dari Negeri Johor berangkat dengan sebuah bas dari Johor Bahru pada jam 12.00 tengah hari,17 Jun 2011 dan  tiba dengan selamatnya di Universiti Teknologi Petronas, Tronoh, Perak pada jam 10.30 malam. Kontijen Johor telah ditempatkan menginap di Kolej Profesional MARA Seri Iskandar yang jaraknya mengambil masa 15 minit daripada Universiti Teknologi Petronas. Persiapan kereta dan pembentangan diteruskan di tempat penginapan sehingga ke pukul 3.00 pagi.



Pada 18 Jun 2011, seawal jam 7.30 pagi, Pasukan Kaminica telah sampai ke tempat pertandingan iaitu di Dewan Serbaguna, Universiti Teknologi Petronas. Setelah pendaftaran dilakukan, para peserta diberi taklimat perjalanan program oleh pihak urusetia. Melalui taklimat tersebut, para peserta dijelaskan mengenai terma dan syarat pertandingan serta kriteria pemarkahan pertandingan.



Setelah selesai mendengar taklimat, para peserta bergerak ke ruang pameran masing-masing untuk menyusun atur bahan pameran dan menghias ruang pameran mereka. Pasukan Kaminica yang telah membuat persiapan rapi sejak awal lagi, tenang menyiapkan ruang pameran mereka. Pasukan ini hanya mengambil masa lebih kurang 40 minit untuk menyiapkan ruang pameran mereka.




Seterusnya, setiap pasukan mengikut giliran masing-masing telah diuji kepantasan kereta mereka melalui catatan masa di trek sepanjang 20 meter. Pasukan Kaminica telah berjaya mencatat masa terpantas iaitu 1.050 saat menumpaskan Juara Keseluruhan Kejohanan Formula One Technology Challenge Peringkat Akhir Kebangsaan tahun lalu, Pasukan Velospeed F1 daripada Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor yang hanya mampu mencatat masa 1.058 saat.



Selepas selesai semua pasukan menguji kepantasan kereta mereka, pertandingan ditangguhkan untuk memberi masa rehat dan solat kepada para peserta dan urusetia pertandingan. Pertandingan diteruskan semula tepat pada jam 2.00 petang untuk sesi pembentangan. Pasukan Kaminica telah membentangkan hasil kajian, aplikasi ilmu kejuruteraan dan teknologi pembuatan yang mereka laksanakan kepada pihak juri dengan penuh keyakinan. Ini telah menarik perhatian juri dan membolehkan mereka muncul sebagai Pembentang Terbaik dan mencatat markah tertinggi untuk pembentangan.






Kemuncak pertandingan adalah majlis penutup dan pengumuman keputusan pertandingan, seperti yang dijangkakan berdasarkan prestasi pasukan semasa berlangsungnya pertandingan, Pasukan Kaminica daripada Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ismail, Johor telah diumumkan sebagai Juara Keseluruhan Pertandingan UTP F1 Cup 2011 dengan markah 84 %. Kejayaan Pasukan Kaminica ini merupakan kejayaan sulung Pasukan Formula One sekolah ini dan juga kejayaan sulung buat Negeri Johor untuk Pertandingan Formula One di Peringkat Kebangsaan. Diharap kejayaan yang dilakar oleh pasukan ini dapat diteruskan pada masa akan datang demi menghasilkan golongan jurutera tempatan yang mempunyai kepakaran setanding dengan jurutera luar negara dan seterusnya memartabatkan mutu tenaga profesional tempatan.

0 ulasan:

Catat Ulasan